BESUT – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan undang-undang kerana kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang guru kerugian RM325,800 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Wanita berusia 44 tahun yang mengajar di sekolah rendah di daerah ini telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, guru terbabit telah dihubungi suspek yang mendakwa kononnya pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
“Mangsa kemudiannya mengikut arahan suspek agar memindahkan wang keseluruhan RM325,800 kononnya bagi mengelak dikenakan tindakan perundangan,” katanya di sini hari ini.
Md. Sani berkata, transaksi tersebut secara berperingkat ke dalam tiga akaun berasingan bermula 6 November lalu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














