IPOH – Kaedah kreatif dan kontemporari seperti komik mampu menarik perhatian golongan muda terhadap Misa Melayu yang merupakan karya sejarah berharga mengenai Kesultanan Melayu Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pendekatan itu digunakan kerana elemen visual diminati golongan itu sekali gus menarik minat remaja terhadap karya berkenaan.
Katanya, komik Misa Melayu itu dipamerkan kepada orang ramai menerusi Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat di Dewan Al-Gahzali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.
“Program dianjurkan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bertujuan mengangkat warisan adat Melayu yang masih diamalkan hingga ke hari ini berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
“Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat ini mendedahkan kandungan manuskrip Misa Melayu, iaitu sebuah karya sejarah berharga tentang Kesultanan Perak yang di dalamnya penuh adat dan ilmu Melayu,” katanya di sini hari ini.
Program tersebut menyediakan galeri komik bercetak, rerurai koleksi komik misa Melayu, ruang bacaan komik serta menonton video naratif rakyat.
Syamsul Hazeman berkata, dengan menggunakan platform tayangan video AR yang disertakan dengan alat audio pandang dengar yang sesuai dan interaktif, program itu membolehkan remaja menikmati cerita rakyat dalam cara lebih moden dan menghiburkan.
“Pendekatan ini menjadikan pengalaman tersebut lebih berkesan dan relevan dengan dunia digital yang mereka kenali,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, ini merupakan usaha MAIPk memelihara adat Melayu Perak untuk diangkat semula dan menjadikan budaya masyarakat Melayu dikenali dan diwarisi kepada generasi muda.
“Diharapkan program ini akan menjadi platform yang efektif untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan tentang kesantunan Melayu,” katanya.
Program Santun Menerusi Komik dan Naratif Rakyat merupakan kajian kelestarian warisan Perak berlandaskan Islam dan ia dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari UPSI iaitu Prof. Madya Dr. Anida Sarudin dan Dr. Nur Syuhada Mat Sin serta Dr. Mohd Nik Mat Pelet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). – KOSMO! ONLINE














