SYDNEY – Seorang wira yang merampas raifal salah seorang penyerang di Pantai Bondi, Sydney dikenali sebagai pemilik kedai buah-buahan yang beragama Islam, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ahmed al Ahmed juga adalah bapa kepada dua anak dan dia melawan salah seorang daripada dua lelaki bersenjata api di pantai pelancongan popular Australia itu, petang semalam ketika masyarakat Yahudi meraikan perayaan Hanukkah.
Jumlah korban maut dalam kejadian itu kini ialah 16 orang.
Ahmed dikenal pasti oleh ahli keluarganya sebagai lelaki yang bergelut dengan salah seorang penyerang dalam klip video yang tular di media sosial.
Keluarganya berkata, Ahmed yang berasal dari kawasan Sutherland, masih dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan akibat luka tembakan di lengan dan tangannya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, lelaki berusia 43 tahun itu beragama Islam.
Dalam rakaman tersebut, dia dilihat memakai kemeja-T putih dan bersembunyi di belakang sebuah kereta sebelum menerkam dari belakang penyerang, bergelut dan merampas senjata api tersebut.
Penyerang kemudian berundur ke kawasan tempat letak kereta ketika Ahmed menghalakan raifal tersebut ke arahnya.
Wira itu kemudian dilihat mengangkat tangannya sebelum menyandarkan raifal tersebut pada sebatang pokok, dipercayai untuk menunjukkan kepada pihak polis bahawa dia bukan salah seorang penyerang.
Sepupunya, Mustafa memberitahu saluran televisyen 7News Australia: “Dia masih berada di hospital dan kami tidak tahu dengan tepat apa yang sedang berlaku, doktor menyatakan keadaannya stabil.”
“Kami berharap dia berada dalam keadaan baik, dia seorang wira, seratus peratus dia seorang wira.
“Dia ditembak dua kali, satu di lengan dan satu lagi di tangannya dan dia terpaksa menjalani pembedahan,” ujarnya.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata: “Rakyat Australia ini (Ahmed) adalah wira.”
Polis mengesahkan terdapat dua lelaki bersenjata, seorang maut manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal. – AGENSI














