PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan berhubung dakwaan penipuan program pelaburan sebuah koperasi selepas seramai 68 individu tampil mendakwa mengalami kerugian keseluruhan melebihi RM5 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa terperdaya dengan program pelaburan yang disyaki tidak wujud.
Beliau berkata, koperasi terbabit menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dan menarik menerusi pelbagai skim, mendorong mangsa yang kebanyakannya rakyat marhaen menyertai koperasi tersebut dengan harapan menjana pendapatan sampingan.
“MHO dimaklumkan janji pulangan pelaburan gagal ditunaikan, manakala modal pelaburan yang diserahkan turut didakwa lesap, menyebabkan mangsa menanggung kerugian besar dan kehilangan wang simpanan.
“Jumlah keseluruhan pelaburan yang telah disalurkan oleh mangsa mencecah RM5,013,820,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MHO bersama mangsa hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memohon pertimbangan dan kerjasama Pengarah JSJK PDRM supaya siasatan dijalankan sepenuhnya di bawah peruntukan jenayah Kanun Keseksaan.
“MHO mencadangkan agar laporan polis yang sebelum ini dirujuk kepada SKM turut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.
Ujarnya, sekitar penghujung tahun 2023, mangsa telah membuat laporan polis kerana mendakwa mereka diperdaya untuk menyertai pelaburan yang disyaki tidak wujud. – KOSMO! ONLINE














