KOTA BHARU – Seorang wanita yang dikatakan mempunyai dua suami di Tanah Merah dekat sini sudah tampil dan memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, proses mengambil keterangan itu berlangsung di Pejabat Agama Tanah Merah.
“Keterangan tersebut perlu diambil daripada wanita itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia mempunyai dua suami.
“Segala keterangan wanita itu akan diteliti sebelum sebarang tindakan dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang wanita mendakwa abang kandungnya ditipu oleh kakak ipar apabila mendapati isteri abangnya itu berkahwin dengan seorang lagi lelaki sejak lebih setahun lalu.
Tembelang wanita dari Terengganu itu terbongkar selepas Nur, 35, bersama dua anggota polis dan penduduk menyerbu ke rumah suami keduanya di Batu 11 di sini pada 6 Disember lalu.
Susulan daripada kejadian itu, Mohd. Asri berkata, Jaheaik membuka siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang dikatakan mempunyai dua suami.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
“Seksyen 38 itu berkait akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan dan Seksyen 40 merujuk kepada kesalahan berhubung akad nikah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














