PONTIAN – Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Pontian apabila ahli keluarga nenuntut jenazah mangsa tragedi runtuhan dan kebakaran kren di Stesen Janakuasa Arang Batu Malakoff, Tanjung Bin di sini, semalam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dari Tanah Merah, Kelantan dan Muhammad Amaluddin Hishamuddin, 24, yang beralamat di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.
Jenazah Allahyarham Muhammad Alfarid dituntut oleh abangnya, Muhamad Faris. Jenazah dibawa keluar dari Hospital Pontian pada pukul 1 tengah hari sebelum dibawa pulang ke Kelantan dengan menggunakan van jenazah milik Pertubuhan Teraju Ehsan Ayer Baloi.
Jenazah Muhamad Amaluddin pula dituntut bapanya, Hishamuddin Sulaiman dan ibunya, Aminah Kemat sebelum dibawa ke rumahnya di Taman Nusa Perintis pada pukul 2 petang selepas proses bedah siasat selesai.
Menurut Hishamuddin, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.- KOSMO! ONLINE














