PONTIAN – Bapa mertua Allahyarham Muhammad Amaluddin Hishamuddin, Muhammad Hussin Zulkifli, 40. berkata, dia terdengar letupan ketika bekerja di atas kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas tidak berjauhan dari Tanjung Bin.
Katanya, dia sempat merakam kejadian letupan tersebut dan menghantar dalam grup WhatsApp keluarga kerana menantunya ada bekerja di Stesen Janakuasa Arang Batu Malakoff di sana.
“Saya terkejut dengar bunyi letupan sangat kuat dan kepulan asap dari Tanjung Bin sewaktu berada di atas kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), sekitar pukul 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, di sini, malam ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, dua mangsa dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera parah dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Muhammad Hussin yang bekerja sebagai penyelia kapal di PTP berkata dia masih lagi terkejut dengan kejadian itu memandangkan kedudukan PTP dan Tanjung Bin bertentangan di Sungai Pulai.
Jelasnya, sebaik menerima panggilan sekitar pukul 2 petang memaklumkan menantunya antara mangsa insiden tersebut, dia dan isteri terus bergerak ke Hospital Pontian.- KOSMO! ONLINE














