NAKHON PATHOM – Penantian panjang selama 34 tahun untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki di Sukan SEA akhirnya terlerai di bumi Thailand selepas pasukan sepak takraw negara menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-1 pada aksi final yang penuh dramatik, hari ini.
Kejayaan bersejarah itu lebih manis apabila dilakar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Gimnasium Nakhon Pathom, sekali gus menyaksikan Malaysia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1991 di Manila.
Thailand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi regu pertama yang diwakili Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa (Varayut Jantarasena) dan Marukin Phanmakon apabila menewaskan gandingan Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir 15-9 pada set pertama.
Regu negara bagaimanapun bangkit dengan permainan lebih kemas untuk menguasai set kedua 15-11 sebelum aksi penentuan menyaksikan pertarungan sengit apabila kedua-dua regu terikat 13-13. Namun, Thailand bernasib baik untuk mencuri kemenangan 15-13 sekali gus meraih mata pertama.
Tekanan itu tidak mematahkan semangat kem negara apabila regu kedua, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam membuktikan status mereka sebagai regu terbaik dunia ketika ini selepas mengatasi trio Thailand, Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan bagi mengikat kedudukan keseluruhan 1-1.
Sorakan penyokong Malaysia terus bergema apabila regu ketiga negara, Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi turun dengan misi menamatkan kemarau emas.
Berhadapan tekanan hebat apabila ketinggalan 0-7, regu negara kekal tenang untuk bangkit mencuri kemenangan 15-13 pada set pertama sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan set kedua 15-11, sekali gus memadam dominasi panjang Thailand dan menghadiahkan emas paling dinanti buat kem sepak takraw Malaysia.
Kejayaan itu bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah skuad kendalian Ahmad Jais Baharun menjadi simbol kebangkitan skuad negara di pentas Sukan SEA selepas lebih tiga dekad penantian untuk mencipta kemenangan. -KOSMO! ONLINE














