fbpx
ARMIN (dua kiri) menamatkan perlumbaan akhir 110m berpagar sebagai pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Tekad ubah nasib keluarga kekuatan Armin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Tekad mengubah nasib keluarga keluar daripada kepompong kesusahan menjadi pemangkin semangat pelari muda negara, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif selepas meraih pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.

Atlet berusia 20 tahun itu percaya hanya ejayaan di pentas sukan mampu memberikan kehidupan lebih selesa buat dirinya dan ibu tercinta, Hanariah Omar, 64.

Sebaik sahaja menamatkan final 110 meter (m) lari berpagar dengan catatan 13.85 saat (s), Armin tidak dapat menahan sebak sambil menunjukkan kertas tertera tulisan ‘I LOVE IBU’ di hadapan kamera, mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya di Dungun, Terengganu.

Armin mendedahkan, kehilangan ayah semenjak kecil dan menjadi ketua keluarga bagi membantu ibunya sambil bekerja sambilan di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya anak tunggal dan menanggung keluarga selepas ketiadaan ayah, jadi sayalah ketua keluarga yang kena tanggung semuanya betul-betul. Saya mahu mengubah kehidupan kami.

“Selama ini jika tiada latihan pagi, saya bekerja sambilan syif malam di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sampai pukul 8 pagi. Pendapatan saya sekitar RM1,000 hingga RM1,300 itulah saya guna untuk sara ibu,” katanya dalam nada sebak.

Armin yang membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu mengakui, kekangan kewangan memaksanya berjimat cermat selain sering makan bersama ibu di rumah.

Tambahnya, dia menyimpan hasrat untuk menjadi atlet sepenuh masa bagi meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi, namun mahu kekal di Terengganu kerana tidak mahu meninggalkan ibunya keseorangan.

“Jadi atlet sepenuh masa boleh bantu saya lari lebih laju untuk Sukan SEA 2027. Tapi saya tak boleh berlatih di Kuala Lumpur, saya kena kekal di Dungun sebab nak jaga ibu yang duduk seorang.

“Alhamdulilah pingat gangsa ini rezeki Allah bagi dan saya harap permulaan untuk masa depan saya. Ibu pesan hari ini, buat yang terbaik untuk keluarga. Saya berjaya lakukannya,” ujarnya.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara tersebut sewaktu edisi Manila 2019 menerusi Rayzam Shah Wan Sofian yang muncul pemenang tempat kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN