BANGKOK – Hasrat penembak wanita negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin mempertahankan pingat emas tidak kesampaian apabila hanya membidik gangsa acara 10 meter (m) air pistol wanita pada Sukan SEA 2025 hari ini.
Dalam aksi final, Syasya terpaksa akur dengan kehebatan penembak Olimpik Vietnam, Trịnh Thu Vinh yang cemerlang membidik 242.7 mata, memecahkan rekod temasya untuk merangkul emas.
Pingat perak turut menjadi milik Vietnam menerusi Nguyen Thuy Trang yang mencatat 241.7 mata, manakala Syasya menamatkan saingan dengan 218.7 mata.
Keputusan itu menyaksikan Syasya gagal mempertahankan pingat emas edisi 2021 di Vietnam selepas acara menembak tidak dipertandingkan di Kemboja pada 2023.
Atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengakui hilang fokus pada pertengahan saingan menyebabkan dia ketinggalan kepada dua pesaing handalan tersebut.
“Pada pertengahan aksi, saya rasa agak tercabar sedikit. Saya cuba perlahan-lahan untuk bangkit semula dan keputusannya dapat gangsa untuk Malaysia.
“Ini adalah permulaan untuk saya bangkit dengan lebih kuat. Saya akan perbaiki segala kelemahan dan Insya-Allah keputusan lebih baik akan menyusul,” katanya.
Terdahulu, Syasya turut menyumbang pingat gangsa acara berpasukan 10m air pistol wanita bersama Dina Batrisyia Adi Azhar dan Joseline Cheah.
“Terima kasih kepada Joseline dan Dina Batrisyia yang telah melakukan sehabis baik untuk meraih gangsa. Tidak lupa juga kepada keluarga dan jurulatih yang banyak memberi sokongan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














