BANGKOK – Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dituntut jangan mensia-siakan ‘tiket emas’ ke separuh akhir dan perlu menggunakan peluang kedua itu untuk menumbangkan tuan rumah, Thailand di Sukan SEA 2025.
Pengendali skuad B-23, Nafuzi Zain berkata, selepas mencapai sasaran ke separuh akhir, misi skuad negara kini berubah untuk memburu ‘ibu emas’ di temasya dwitahunan tersebut.
Justeru, beliau menuntut anak buahnya membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal untuk mengejutkan Gajah Perang di hadapan penyokong sendiri.
“Syukur Alhamdulillah, berkat doa semua kita layak ke separuh akhir walaupun dalam keadaan mendebarkan menunggu keputusan antara Indonesia dan Myanmar. Rezeki berpihak kepada kita dan sasaran seterusnya dapatkan pingat kerana laluan itu sudah ada.
“Semestinya kita mahukan emas kalau boleh. Saya tahu Thailand adalah pasukan yang sangat kuat dan kita sudah bertemu mereka di kelayakan Piala Asia B-23, jadi kita tahu kemampuan mereka.
“Insya-Allah situasi perlawanan separuh akhir ini akan berubah dan kita akan lakukan persiapan terbaik untuk berdepan tuan rumah yang memiliki kelebihan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nafuzi menarik nafas lega apabila Haqimi Azim Rosli kembali bersama pasukan selepas pulang ke tanah air kerana kematian bapa tirinya sebelum ini, namun kehilangan khdimat Rahman Daud kerana penggantungan perlawanan.
Pemain pertahanan negara, Ahmad Aysar Hadi mahu semua pemain memberikan komitmen 100 peratus ketika berdepan Thailand untuk menjamin slot ke pentas final.
“Bukan sahaja barisan pertahanan kena waspada berdepan Thailand, semua pemain kena ambil tangungjawab untuk memastikan Malaysia meraih keputusan positif,” katanya. – KOSMO! ONLINE














