fbpx
JOHNATHAN ceria bersama pingat emas dimenanginya dalam acara 10m air pistol lelaki hari ini. - MSN MALAYSIA

Sukan SEA: Johnathan bangkit pertahan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Penembak negara, Johnathan Wong membuktikan ketenangan mental pada aksi final berjaya mempertahankan pingat emas 10 meter (m) air pistol Sukan SEA 2025 hari ini.

Meskipun bermula hambar pada peringkat kelayakan apabila menduduki tempat ketujuh, Johnathan bangkit mempamerkan bidikan tepat di final untuk mengutip 237.8 mata.

Pingat perak menjadi milik atlet Filipina, Fernandez Michael Angele yang mencatat 236.1 mata, manakala gangsa diraih Maruf Sulthanul Aulia dari Indonesia dengan 213.1 mata.

Mengulas kejayaan itu, Johnathan mengakui tekanan tinggi menyebabkan dia hilang fokus pada pusingan awal, namun berpuas hati dapat menebus kesilapan tersebut pada saat genting.

“Saya hilang fokus di kelayakan tetapi selepas layak ke final, saya cuba mengawal diri. Jurulatih juga datang memberikan nasihat supaya saya kembali ke prestasi sebenar. Sebagai atlet yang berpengalaman, saya perlu bangkit.

“Jurulatih berpesan supaya lupakan apa yang berlaku di peringkat kelayakan. Yang penting aksi final, jadi saya fokus untuk cuba tenang kerana harapan semua orang sangat tinggi,” katanya.

Tambah Johnathan, kejayaan itu diharapkan dapat menjadi penyuntik semangat buat kontinjen negara.

“Ini bukan soal saya dapat pertahankan emas semata-mata, tetapi memberi inspirasi kepada atlet lain untuk berjaya. Pingat emas ini bukan hanya untuk saya dan negara, tetapi buat semua atlet,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johnathan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya, terutamanya isteri tercinta yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN