PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran program perlawanan pickleball yang berlangsung hari ini.
Program kolaborasi itu menghimpunkan warga SPRM dari pelbagai bahagian bersama wakil media dengan matlamat mengeratkan silaturahim, selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli berkata, penganjuran program tersebut lebih bersifat santai dan berkonsepkan pertemuan mesra antara pegawai SPRM dan pihak media.
Menurut beliau, kolaborasi bersama media amat penting bukan sahaja dalam konteks mempromosikan gaya hidup sihat, malah sebagai usaha mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.
“Kerjasama bersama media amat penting bukan sahaja dalam penyampaian maklumat berkaitan pencegahan rasuah, malah sebagai rakan strategik dalam membina kefahaman awam terhadap peranan SPRM.
“Pendekatan santai melalui aktiviti riadah seperti ini membuka ruang interaksi dua hala yang lebih dekat dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Program Battle of Paddle: SPRM Selangor di Pickle Playground, Padang Jawa, di sini, hari ini.
Terdahulu, SPRM bersama 10 wakil Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) menyertai perlawanan pickleball yang diadakan secara santai itu.
Perlawanan berkenaan dimenangi Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, manakala pasukan wakil CiJA terkandas di peringkat separuh akhir. – KOSMO! ONLINE














