PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) pada tahun hadapan sebagai usaha kementerian dalam mengurangkan beban guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu sekali gus memberi kepercayaan sepenuhnya kepada warga pendidik dalam memenuhi ketetapan yang diperuntukkan KPM.
“KPM mansuhkan Sistem SPLKPM tahun hadapan. Sepenuh kepercayaan diberi kepada guru,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook.
SPLKPM merupakan sebuah platform dalam talian yang dibangunkan oleh KPM bertujuan mengurus, memantau dan merekodkan semua aktiviti berkaitan Latihan Dalam Perkhidmatan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah naungan KPM.
Secara ringkasnya, ia adalah portal sehenti bagi para guru dan pentadbir sekolah untuk merekodkan dan menyemak status kursus atau latihan yang dihadiri bagi memenuhi keperluan pembangunan profesionalisme berterusan (CPD).
Setiap guru disasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya lima hari berkursus dan mengumpul 42 mata kredit setiap tahun melalui platform ini. – KOSMO! ONLINE














