KUALA LUMPUR – Keputusan siasatan dalaman oleh Jawatankuasa Bebas membabitkan isu pemain warisan Harimau Malaya dijangka akan diketahui, minggu ini.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya belum ada gambaran jelas berhubung siasatan jawatankuasa yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif itu.
“Kita masih menunggu lagi laporan daripada Tun Raus. Saya menjangkakan kita akan mendapatkan laporan ini dalam bulan ini juga.
“Daripada laporan itu nanti kita akan tengok apa dapatan daripada Tun Raus punya jawatankuasa itu. Lepas itu baharu kita tengok apa langkah-langkah lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) dan FAM, hari ini.
Jawatankuasa bebas ini ditubuhkan bagi menyiasat isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya hingga tercetusnya tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
FIFA sebelum ini mengenakan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM manakala tujuh pemain warisan terbabit terpaksa membayar CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang dan digantung selama 12 bulan.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menerusi laporan bertulis sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA setebal 64 muka surat mendedahkan alasan penuh badan induk bola sepak dunia itu menolak rayuan dikemukakn oleh FAM dan tujuh pemain terbabit. – KOSMO! ONLINE














