VIENNA – Pengerusi Lembaga Penyeliaan Porsche berusia 82 tahun, Wolfgang Porsche berkahwin dengan pasangannya, Gabriela of Leiningen yang dua dekad lebih muda, menandakan perkahwinan keempat beliau, lapor portal berita VnExpress.
Pasangan itu mengadakan majlis perkahwinan tertutup di Salzburg, Austria, pada 7 Disember lalu.
Menurut agensi berita DPA, hanya sedikit maklumat didedahkan kerana mereka memilih untuk merahsiakan acara tersebut.
Porsche pertama kali berkahwin pada tahun 1970 dan memuktamadkan perceraian dengan isteri ketiganya pada 2023.
Beliau dan Leiningen saling mengenali selama lebih 20 tahun.
Gabriela, 62, berasal daripada keluarga Thyssen iaitu pengasas ThyssenKrupp yang merupakan konglomerat keluli terbesar di Jerman.
Sejarah perkahwinannya juga menarik perhatian.
Beliau berkahwin dengan Putera Karl Emich of Leiningen pada 1991 sebelum bercerai pada 1998 dan kemudian pada tahun sama, berkahwin pula dengan Aga Khan IV iaitu pemimpin rohani komuniti Ismailiyah..
Perkahwinan itu berakhir pada 2014.
Wolfgang Porsche ialah cucu kepada pengasas syarikat kereta, Ferdinand Porsche. – AGENSI














