PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menegaskan usaha menangani banjir di Lembangan Sungai Golok, Kelantan dilaksanakan secara komprehensif dan berfasa melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).
PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan, pendekatan yang diguna pakai merangkumi penyelesaian jangka panjang serta langkah sementara (quick win) bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya ketika musim monsun.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan penuh tiga fasa PLSB Sungai Golok dijangka mampu mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI), selaras dengan piawaian keselamatan perlindungan banjir.
“Sehingga Disember 2025, kemajuan fizikal Fasa 1 telah mencapai 71.3 peratus dan dijangka siap pada Julai 2026, manakala Fasa 2 kini berada pada peringkat perolehan dan dijangka bermula Februari 2026. Fasa 3 pula mencatat kemajuan 9.2 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya pada April 2029,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan Petra , apabila ketiga-tiga fasa siap sepenuhnya, projek tersebut akan memberi perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan utama seperti Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat, sekali gus mengurangkan pendedahan penduduk serta harta benda kepada risiko bencana.
Katanya, sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek, beberapa langkah mitigasi sementara sedang dilaksanakan, termasuk kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal, penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Danau To’ Uban, pemasangan tembok penghadang banjir mudah alih serta pengorekan muara Sungai Golok dalam masa terdekat.
“PLSB Sungai Golok juga merangkumi pendekatan pengurusan banjir bersepadu, termasuk pelebaran sungai dan pembinaan struktur kawalan aliran bagi memastikan pengurusan limpahan sungai yang lebih berkesan,” katanya..
Ujar Petra, komitmen kerajaan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan projek mengikut perancangan dan piawaian ditetapkan.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air komited melaksanakan Projek PLSB Sungai Golok secara berperingkat dan mampan, dengan kerjasama berterusan Kerajaan Negeri, bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk di Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














