fbpx
MARIGNY (kiri) hadir ke sidang akhbar perlawanan akhir bersama ketua pasukannya, Dominic Tan di SNBJ semalam. - SHIDDIEQIIN ZON

Piala FA: Sabah idam tamat penantian 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Sabah FC, Jean-Paul de Marigny nekad menamatkan penantian 30 tahun untuk bergelar juara Piala FA kerana tidak pernah gentar dengan reputasi juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun bolos 12 gol dalam dua pertemuan terakhir dengan JDT, Marigny meminta anak-anak buahnya tampil lebih berani untuk cuba mencipta kejutan sekali gus menghadirkan kejuaraan sulung Piala FA sejak kali terakhir memenanginya pada 1995.

Beliau menjelaskan dia langsung tidak ambil kisah dengan situasi dihadapi JDT yang ketika ini dipalit isu kecederaan hingga sekadar seri dalam dua aksi terakhir mereka.

“Saya hargai semua maklumat. Saya adalah jurulatih yang hanya berikan tumpuan kepada pasukan saya iaitu perkara yang saya boleh kawal.

“Saya tak boleh kawal pasukan lawan. Ojektif utama saya adalah untuk memastikan pemain melaksanakan pelan permainan dengan mentaliti yang betul dan (tampil) dengan berani.

“Kami kena positif, berani dan menjaringkan gol. Dalam lapan perlawanan terakhir, kami menjaringkan gol dan kami akan teruskannya pada perlawanan kali ini,” katanya pada sidang akhbar final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan Liga Super sebelum ini, Sabah dibelasah 0-8 dan 0-4, namun kali ini adalah situasi berbeza yang wajar dinikmati oleh semua orang termasuk peminat.

Bagaimanapun, Marigny lebih selesa untuk turun ke gelanggang dengan reputasi sebagai ‘underdog’ tetapi status itu tidak bermakna Sabah rela membiarkan JDT berpesta dengan mudah.

“Saya adalah warga Australia dan kami suka jadi pasukan bukan pilihan. Saya fikir orang di luar daripada pasukan akan mengatakan seperti ini tetapi kami tahu siapa diri kami.

“Sebagai pasukan bukan pilihan, kami akan berjuang sehingga minit terakhir. Kami lebih suka (tamatkan aksi) dengan 90 minit tetapi jika terpaksa menanti lebih lama (masa tambahan atau penentuan penalti), kami akan bersiap sedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI