KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan selepas menjuarai trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 5-0 dalam pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad JDT yang dianggap antara pilihan utama membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dipacu oleh Oscae Arribas, Jairo Da Silva dan Manuel Hidalgo.
Kekuatan JDT sukar dikekang apabila benteng skuad The Rhinos dibolosi dengan mudah seawal minit ke-7 menerusi tandukan Jonathan Silva hasil daripada situasi set piece yang diambil Oscar Arribas.
Gol tersebut menaikkan semangat JDT untuk menggandakan kelebihan mereka berselang 12 minit kemudian selepas kapten Sabah, Rawilson Batuil tertampan hantaran Nacho Mendez ke dalam gawang sendiri pada minit ke-19.
Jairo yang mengisi kekosongan Bergson selaku penyerang utama turut mencetak nama selaku penjaring menerusi tandukan menarik pada minit ke-22.
Sabah berjaya menjaringkan satu gol hasil penyudah Ajdin Mugajic pada minit ke-25 tetapi dibatalkan selepas pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail selepas meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR).
Penyerang muda Sabah, Fergus Tierney turut memiliki peluang keemasan untuka merapatkan kedudukan tetapi percubaan yang dilakukan pada penghujung babak pertama berjaya diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.
Bersambung pada separuh masa kedua, nasib Sabah FC bertambah malang apabila Miguel Cifuentes dilayangkan kad merah sekali gus menyaksikan pasukan Borneo itu beraksi dengan 10 pemain untuk baki 40 minit perlawanan.
Penguasaan JDT dilengkapkan dengan gol keempat yang dilakukan oleh Arribas pada minit ke-64 untuk memastikan gawang yang dikawal oleh Damien Lim bocor sekali lagi.
Malam gemilang JDT dilengkapkan menerusi jaringan Hidalgo pada masa kecederaan dengan keputusan 5-0 kekal hingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE














