SYDNEY – Australia berdepan dengan salah satu krisis kekurangan guru terburuk dalam tempoh beberapa dekad, lapor portal berita VnExpress hari ini.
Sekolah-sekolah awam kini semakin bergantung kepada pelajar universiti yang belum layak sepenuhnya untuk memastikan operasi bilik darjah dapat diteruskan.
Tinjauan antarabangsa mendapati 58 peratus pengetua di Australia melaporkan kekurangan guru, manakala negeri-negeri seperti New South Wales, Victoria dan Australia Barat terus mengiklankan ribuan kekosongan jawatan tersebut.
Bagi memastikan sekolah terus beroperasi, kerajaan negeri telah memperluaskan penggunaan ‘Permission to Teach’ atau Kelulusan Untuk Mengajar.
Ia merupakan kelulusan khas yang membolehkan pelajar pendidikan yang belum berkelayakan ditempatkan secara langsung di bilik darjah.
“Di sekolah saya, itulah satu-satunya cara kami dapat terus bertahan,” kata Chris Smith, yang sehingga tahun lalu merupakan penolong pengetua di sebuah sekolah awam di Queensland, menurut laporan portal berita ABC News. – AGENSI














