fbpx
Lokasi kejadian seorang pelajar maut dirempuh sebuah motosikal semasa melintas jalan di dalam kawasan UiTM Cawangan Machang, Machang semalam. Foto PDRM

Pelajar UiTM Machang maut dirempuh motosikal pakai sebelah ‘earbuds’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang yang maut dirempuh sebuah motosikal ketika melintas semalam dipercayai memakai fon telinga tanpa wayar.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan awal, mangsa berusia 19 tahun yang memakai peranti itu pada telinga kanannya berkemungkinan tidak menyedari kehadiran motosikal yang ditunggang pelajar lelaki.

“Siasatan awal mendapati, peranti itu masih berada pada telinganya selepas kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahmad Shafiki berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Machang mendapati, kematian remaja itu akibat kecederaan parah pada kepala.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dalam nahas pukul 6.20 petang itu, mangsa yang merupakan pelajar semester ketiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan maut di lokasi kejadian akibat cedera pada kepala.

Siasatan awal mendapati, penunggang motosikal Honda RS-X 150 yang juga pelajar Fakulti Perakaunan dalam perjalanan dari arah pintu utama UiTM Cawangan Machang untuk pulang ke asrama.

Katanya, semasa motosikal itu sedang mendaki bukit, mangsa yang berasal dari Marang, Terengganu dipercayai melintas secara mengejut menyebabkan penunggang berusia 20 tahun mengelak ke kiri, namun tetap merempuh remaja perempuan tersebut.

“Si mati yang terjatuh atas pembahagi jalan mengalami kecederaan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN