PETALING JAYA – Keselamatan ketika memandu bukan sahaja bergantung kepada kelajuan atau tahap kesedaran pemandu, sebaliknya juga dipengaruhi oleh keadaan ruang kaki pemandu.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), sebelum memulakan kenderaan, pemandu disarankan mengambil masa hanya 10 saat untuk membuat semakan pada ruang lantai.
Kata PHM, langkah ini melibatkan pemeriksaan di bawah pedal bagi memastikan karpet tidak bergulung atau meluncur ke hadapan.
“Kalau karpet jenis ada klip, pastikan ia memang terkunci. Karpet tebal yang terangkat boleh masuk bawah brek atau minyak dan bila saat cemas berlaku, kaki anda tekan habis pun pedal mungkin tak bergerak seperti biasa.
“Kosongkan ruang kaki dari objek kecil. Cermin mata hitam, botol air, duit syiling, penutup botol, mainan anak, semua ni boleh jatuh dan terselit tepat pada laluan pedal. Benda kecil, tapi kesannya besar bila ia ‘jem’ pergerakan brek atau buat kaki tersilap pijak,” jelas PHM dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.
PHM turut menekankan pemilihan kasut yang sesuai ketika memandu.
“Kasut bertumit, tapak licin atau longgar boleh menyebabkan kaki tergelincir dan hilang cengkaman ketika brek mengejut diperlukan.
“Ramai sangka punca kemalangan hanyalah kerana laju atau mengantuk. Hakikatnya, kadang-kadang ia bermula dari lantai yang kita sendiri tidak pandang,” kata PHM. – KOSMO! ONLINE














