SETIU – Seorang jurujual kereta maut selepas Perodua Myvi dipandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit di Kilometer 50, Jalan Pantai Kuala Terengganu – Permaisuri berhampiran Kampung Telaga Putat di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.11 petang itu, mangsa, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar, 32, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superindentan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Tuan Nur Amirah dikatakan dalam perjalanan ke Pasir Puteh, Kelantan dari rumahnya di Kampung Pak Kancil Luar di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Myvi dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudiannya merempuh sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit yang dalam perjalanan ke sebuah kilang di Kampung Rahmat di sini,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Tuan Nur Amirah telah meninggal dunia.
Beliau berkata pemandu lori berusia 41 tahun pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














