PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di beberapa kawasan bahagian Pantai Timur Semenanjung serta Sarawak susulan jangkaan taburan hujan berpanjangan sehingga 16 Disember.
Menurut MetMalaysia, amaran berkenaan melibatkan bahagian timur Semenanjung iaitu jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.
Selain itu, keseluruhan negeri Terengganu turut berada dalam senarai kawasan terjejas, manakala di Pahang, amaran meliputi daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Di Johor pula, kawasan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh amaran tersebut.
MetMalaysia memaklumkan, situasi sama turut dijangka berlaku di Sarawak membabitkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah, dengan amaran berkuat kuasa sehingga Selasa depan. – KOSMO! ONLINE














