fbpx
PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ketika meraikan kemenangan Pearly-Thinaah di Sukan SEA Thailand 2025.

Gagal capai sasaran 4 emas, Rexy sedia lepas jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky secara terbuka menyatakan kesediaan melepaskan jawatannya sekiranya menerima desakan susulan kegagalan skuad negara mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu menegaskan, beliau sedia memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas prestasi kurang memberangsangkan kem badminton negara di Bangkok, termasuk jika diminta berundur serta-merta sebaik pulang ke Kuala Lumpur.

Pada temasya dwitahunan itu, impian Malaysia untuk membolot empat emas musnah apabila hanya satu pingat emas berjaya dijelmakan menerusi beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah.

Lebih mengecewakan, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 14-21, 17-21 kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final.

Nasib malang turut menimpa beregu campuran yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila gagal menyinar, sekadar meraih gangsa selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 15-21, 16-21.

BEREGU lelaki negara, Aaron-Wooi Yik gagal menjelmakan pingat emas selepas tumpas di pentas final Sukan SEA Thailand 2025.GAMBAR: FARIZ RUSADIO

“Secara realistiknya, kita gagal kerana daripada sasaran empat pingat emas yang diletakkan dalam acara beregu, kita hanya berjaya meraih satu. Ini adalah satu perkara besar yang perlu dinilai semula.

“Saya bercakap tentang tanggungjawab. Sebagai pengarah di sektor beregu, sayalah yang bertanggungjawab. Jika memang ada desakan (untuk letak jawatan), saya bersiap sedia,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Rexy turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu berselindung di sebalik sebarang alasan, biarpun mengakui tekanan di pentas Sukan SEA mempunyai cabaran tersendiri berbanding kejohanan lain.

“Sukan SEA ini sesuatu yang saya istilahkan sebagai tidak mudah kerana atas kertas nampak senang, tetapi sebenarnya tidak. Ini bukan seperti Jelajah Dunia di mana jika gagal, ada lagi kejohanan minggu depan. Sukan SEA ini melibatkan maruah negara dan kita perlu ditunggu dua tahun lagi,” jelasnya.

Mengulas prestasi anak buahnya, Rexy mengakui kecewa apabila hanya Pearly-Thinaah berjaya menepati ramalan daripada tiga gandingan utama yang dipertaruhkan.

“Walaupun kita sudah menghantar barisan atlet terbaik, daripada tiga pasangan utama, hanya satu yang berjaya. Memang semua pemain berdepan tekanan, tetapi sebagai pemain bertaraf dunia, mereka sepatutnya boleh menanganinya,” ujarnya.

Secara keseluruhan, kem badminton negara menamatkan saingan dengan satu emas, dua perak (termasuk acara berpasukan lelaki) dan pingat gangsa yang disumbangkan oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Justin Hoh dan Leong Jun Hao (perseorangan lelaki), Wong Ling Ching (perseorangan wanita) serta acara berpasukan wanita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN