LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melabelkan aksi barisan pemain seperti tidak boleh diterima ‘akal’ selepas menang tipis 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, The Gunners gagal mempamerkan prestasi diharapkan apabila terpaksa meraih kemenangan pada masa kecederaan hasil jaringan sendiri pertahanan lawan, Yerson Mosquera.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan keputusan tersebut langsung tidak menggambarkan mutu sebenar pasukan yang beraksi hambar walaupun bertemu dengan Wolves yang menghuni di tangga tercorot EPL musim ini.
“Kami terlalu pasif dan beraksi secara bertahan yang sukar untuk saya percaya. Ini bukanlah permainan yang boleh saya banggakan kerana langsung tidak capai tahap yang sepatutnya.
“Wolves tidak mencipta satu pun percubaan sebelum itu tetapi bagaimana kita boleh biarkan mereka menjaringkan gol adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya. – AGENSI














