PETALING JAYA – Seorang editor video Astro Awani maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 457.1 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) hala selatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.49 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.05 malam ketika mangsa, Mohd. Kusairi Ishak, 52, menunggang motosikal jenis Ducati dari Tapah untuk pulang ke kediamannya di Bangsar.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di bahagian kanan lebuh raya.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada pukul 9 pagi hari ini.
Menurut beliau, motosikal mangsa mengalami pelbagai kerosakan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi tujuan pemeriksaan lanjut termasuk ujian kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














