KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun melaksanakan tuntutan mengikut undang-undang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk membuat keputusan berkaitan isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya kini sudah pun ‘terpisah’ dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan menyerahkan kepada CAS untuk membuat penilaian.
“Saya fikir di peringkat FIFA kita dah habis, tidak ada melibatkan apa-apa lagi berkenaan dengan FIFA. Di CAS ini cuma proses terakhir kita ataupun platform terakhir kita untuk mencuba.
“Terpulang kepada CAS selaku badan bebas, mereka tidak terikat dengan FIFA. Apa-apa keputusan pun mesti dipatuhi, sama ada kita ataupun FIFA. Kita cuma menghabiskan proses daripada segi perundangan ataupun daripada segi peraturan, soal menang kalah biar CAS tentukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) dan FAM, hari ini.
Melalui MoU ini, UKMSC dan FAM komited memperkukuh kualiti penjagaan kesihatan untuk pemain bola sepak Malaysia yang merangkumi penilaian risiko kecederaan, pembangunan protokol kecemasan serta pengukuhan pemahaman mengenai kecederaan kardiovaskular, trauma neurologi dan kecederaan muskuloskeletal dalam kalangan pemain.
FAM sebelum ini mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Dalam masa sama, Mohd Yusoff menjelaskan FAM kini diberikan tempoh sehingga Khamis ini untuk menghantar dokumen berkaitan.
“Tidak ada perkembangan baharu, cuma kita diberi tempoh sampai 18 hari bulan ini untuk hantar (dokumen). Saya fikir persiapan untuk hantar semua dokumen itu telah sedang dilakukan oleh pakar perundangan kita, jadi saya percaya kita akan dapat memenuhi prosedur CAS,” katanya. – KOSMO! ONLINE














