PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita yang membawa bapanya pulang ke India selepas hampir 50 tahun menetap di Malaysia mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Instagram oleh pengguna @Nanthinipalanisamy, kelihatan bapanya teruja apabila pertama kali menaiki kapal terbang untuk pulang ke tanah air selepas sekian lama berjauhan.
Menurut wanita itu, bapanya meninggalkan India ketika berusia 17 tahun tanpa saudara-mara, wang dan tanpa mengetahui Bahasa Melayu sebelum mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup.
Katanya, hasil titik peluh tersebut digunakan sepenuhnya untuk membina keluarga selepas berkahwin serta membesarkan anak-anak sehingga hasrat untuk pulang ke negara asal diketepikan.
“Pulang ke negara asal bukanlah satu pilihan, bukannya kerana dia tidak mahu pulang, namun disebabkan ia adalah satu kemewahan dan semua wang yang diperolehnya digunakan untuk membesarkan kami. Malah, sewaktu pengebumian kakaknya sendiri pun dia tidak pulang,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata turut tersentuh dengan pengorbanan seorang bapa demi keluarga.
“Disebabkan awak, bapa awak dapat pulang. Perkara yang awak dan bapa awak patut banggakan. Saya sangat menghormati bapa awak kerana pengorbanannya dan usaha awak membalas jasa dia,” komen @Shantini Karalasingam.
“Terharunya baca kisah bapa awak ni, sedih saya. Tolong buat dia gembira dan saya yakin dia sentiasa bangga dengan awak,” kata @Ummu Imran.
“Sedihnya, saya pun teringin bawa bapa saya ke luar negara tetapi waktu tu saya tidak mampu. Sekarang bila sudah mampu, dia pula bukan dalam keadaan yang sesuai. Saya doakan yang terbaik untuk awak sekeluarga,” komen @Kumvaradhi. – KOSMO! ONLINE














