fbpx
SELAIN trofi, Ernie juga membawa pulang wang runai berjumlah RM30,000.

‘Tukar baju sebab nak balik, tak sangka menang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

 

KUALA LUMPUR – Meski menang besar, penyanyi Ernie Zakri menegaskan dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) semalam adalah perkara yang tidak pernah dijangka sepanjang hidupnya sebagai anak seni.

Menurut Ernie, 33, disebabkan itu, dia memilih untuk menukar pakaian dan pulang ke pangkuan keluarga selepas bertanya kepada pihak produksi.

“Paling jujur, saya memang benar-benar tak sangka dan ada bertanya juga tadi (semalam) kepada pihak produksi, bolehkah saya balik?

“Tapi respons diterima meragukan sebab mereka mahu saya kekal di acara tapi kalau saya nak pulang, mereka tidak menghalang.

“Jadi, saya pilih jawapan terakhir iaitu pulang kerana saya ada seorang anak dan suami menunggu di rumah. Saya juga sudah tukar baju di hotel, sebab itu saya hanya berpakaian ringkas sebegini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Namun menurut Ernie, selepas menerima panggilan daripada pihak produksi, dia terpaksa turun daripada kereta akibat kesesakan lalu lintas dan berlari ke lokasi majlis agar tidak tiba lewat di lokasi acara.

Tambahnya, dia juga sepatutnya pulang ke rumah kerana sudah merancang untuk meraikan kemenangan bagi kategori Penyanyi Wanita Popular bersama suami, Syamel dan anak perempuannya, Nur Khawla Soleha di sebuah restoran.

“Walaupun trafik agak sesak, saya tetap bergegas dengan keluar daripada kereta dan berlari ke lokasi ABP37.

“Mungkin disebabkan itu saya nampak agak mengah dan penat. Itulah kronologi sebelum saya naik pentas malam tadi.

“Sebenarnya, Kalau boleh mahu peminat melihat saya dalam keadaan bersiap cantik, tetapi maaf kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba,” ujarnya.

Semalam, Ernie berjaya membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ke-37 selepas meraih undian mencecah 124 juta sekali gus menewaskan pesaing lain iaitu termasuk Emma Maembong, Sweet Qismina, Tracie Sinidol dan Wani Kayrie.

Dia turut menerima wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.

Selain itu, dia juga mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN