fbpx
Malaysian Tigress pada aksi pembukaan Sukan SEA Thailand 2025. - MHC

Tigress ganas, Speedy Tigers kekal di landasan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Skuad hoki wanita negara menampilkan persembahan dominan apabila membelasah Indonesia 11-1 dalam aksi kedua liga sepusingan Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menghantar isyarat jelas sebagai pencabar utama pingat emas.

Tigress bermula garang seawal minit kedua menerusi jaringan Nur Afiqah Syahzani Azhar sebelum Juliani Mohamad Din menggandakan kelebihan hasil pukulan sudut penalti seminit kemudian, sekali gus memaksa Indonesia bertahan dalam tekanan berterusan.

Rentak agresif itu diteruskan dengan jaringan Nuramirah Shakirah Zulkifli (m-16), Dayang Nuramirah Abang Mahadini (m-23) dan gol kedua Nuramirah Shakirah (m-37), sebelum Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin mencetak hatrik pantas pada suku keempat untuk mengukuhkan kelebihan besar skuad negara.

Ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim memuji disiplin dan intensiti tinggi anak buahnya, namun mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan terutama dari segi ketajaman penyudah.

“Permainan hari ini agak baik dan pemain sangat berdisiplin ketika melakukan pressing, tetapi kita masih boleh menjaringkan lebih banyak gol dan itu perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Nasihin turut menegaskan fokus kini beralih kepada persiapan menghadapi Thailand dengan pasukan akan memanfaatkan tempoh rehat untuk latihan, pemulihan serta analisis video.

“Kita ada masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan memperkemaskan permainan kerana sasaran pasukan belum tercapai lagi,” ujarnya.

Dalam saingan lelaki pula, Speedy Tigers turut mencatat kemenangan meyakinkan apabila menundukkan Indonesia 6-2 dalam perlawanan kedua liga sepusingan.

Skuad negara membuka tirai jaringan menerusi Muhajir Abdu Rauf (m-7) sebelum Syed Syafiq Syed Cholan (m-15) mencuri tumpuan dengan meledak hatrik, manakala Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi masing-masing turut mencatat nama sebagai penjaring.

Meskipun Indonesia sempat memberikan tentangan menerusi dua jaringan balas, skuad negara kekal tenang dengan kawalan permainan kemas serta keberkesanan situasi pukulan sudut penalti.

Kejayaan berganda skuad wanita dan lelaki itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasukan paling konsisten kejohanan, sekali gus menyuntik keyakinan tinggi menjelang perlawanan penting seterusnya dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA Thailand 2025. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI