SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan kemungkinan perasaan cemburu suspek terhadap isterinya menjadi punca lelaki itu bertindak membunuh dan menyimpan mayat wanita tersebut selama empat hari di bilik tidur rumah mereka di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! di sini, petang ini berkata, ia berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap suspek berusia 28 tahun itu.
Menurutnya, suspek yang merupakan penganggur kini masih dalam tempoh reman selama seminggu, bermula semalam bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, kita tidak menolak kemungkinan punca kejadian berlaku disebabkan perasaan cemburu suspek terhadap mangsa berusia 44 tahun.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan. Suspek masih dalam tempoh reman dan polis sedang menyiapkan siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.
Semalam, suspek yang digelar dengan panggilan ‘abi’ dalam kalangan anak tirinya turut dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya bagi melihat jenazah isterinya sejurus selesai proses bedah siasat.
Suspek yang diiringi anggota polis sempat memohon maaf kepada bapa mentuanya atas kejadian yang berlaku.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur selama empat hari sejurus tampil menyerah diri di balai polis berhampiran, Khamis lalu.
Mayat wanita anak lima itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam bilik tidur kediaman mereka dengan lengkap berpakaian. -KOSMO! ONLINE














