BANGKOK – Kem wushu negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan langkah cemerlang apabila meraih pingat emas pertama dalam sukan itu menerusi acara duilian wanita tanpa senjata, hari ini.
Gandingan mantap yang dibarisi oleh Mandy Cebelle Chen, Sydney Sy Xuan Chin dan Loh Ying Ting mempamerkan persembahan bertenaga dan penuh keserasian untuk mengutip 9.633 mata, sekali gus mengetepikan saingan terdekat mereka.
Kutipan mata itu sudah cukup untuk menewaskan trio dari Indonesia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.620 mata, manakala pingat gangsa menjadi milik Filipina yang mencatatkan 9.590 mata.
Atlet negara, Loh Ying Ting menegaskan kunci utama kejayaan mereka di Thailand terletak pada keserasian dalam satu pasukan sekali gus berjaya mengurangkan kesilapan.
“Kami ada keserasian yang sangat baik dalam satu pasukan. Saya gembira kerana berjaya menampilkan persembahan terbaik hari ini.
“Terima kasih diucapkan kepada Persatuan Wushu Malaysia, Presiden Datuk Chong Kim Fatt, barisan jurulatih iaitu jurulatih Zhang, Chin dan Luo, serta Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), keluarga dan rakan-rakan atas sokongan kepada kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














