fbpx
SADAT

Sukan SEA: Sadat tekad ‘meletup’ pada edisi 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan bersiap sedia untuk ‘meletup’ pada Sukan SEA Malaysia 2027 bagi menamatkan dominasi jaguh Thailand, Kittipong Boonmawan.

Keyakinan itu disuarakan Sadat selepas meraih pingat perak dengan balingan 60.15 meter (m) pada final di Stadium Nasional Supachalasai kelmarin sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa diraihnya pada dua edisi terdahulu.

Dalam saingan tersebut, pingat emas kekal milik Kittipong yang melakukan balingan sejauh 63.11m, manakala ‘raja tukul besi’ negara, Jackie Wong berpuas hati dengan pingat gangsa (59.81m).

Sadat menyifatkan kejayaan menaiki podium kedua itu sebagai hasil yang cukup berbaloi selepas bekerja keras sepanjang tahun.

“Alhamdulillah penat lelah saya ‘berbayar’. Apa yang saya usahakan dalam latihan, itulah hasilnya di Sukan SEA kali ini.

“Untuk mengejar atlet Thailand (Kittipong), saya sasarkan tempoh dua tahun lagi di laman sendiri. Saya akan terus beri saingan sengit dan mengatasinya nanti,” katanya.

Kejayaan di Bangkok turut menyaksikan Sadat berjaya menewaskan Jackie buat kali pertama dalam mana-mana kejohanan kompetitif mahupun sesi latihan.

Jelasnya, pencapaian memintas seniornya itu memberikan kepuasan peribadi dan menyuntik semangat baharu buat dirinya.

“Saya tidak pernah mengalahkan Jackie, ini kali pertama termasuk dalam latihan. Biasanya dalam latihan, jarak balingan kami sangat jauh berbeza.

“Saya sangat puas dengan pencapaian kali ini. Insya-Allah di Kuala Lumpur nanti, saya akan lakukan lebih baik untuk menghadiahkan emas buat negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI