BANGKOK – Peluang kem badminton negara menamatkan kemarau pingat emas beregu wanita selama 10 tahun mampu berakhir di bumi Thailand selepas gandingan kedua dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke final Sukan SEA 2025 esok.
Kali terakhir Malaysia menjelmakan kilauan emas acara tersebut menerusi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi Singapura 2015 dan kini harapan menggunung diletakkan di bahu Pearly-Thinaah untuk menoktahkan penantian itu.
Namun, perjalanan mereka untuk menempah slot ke pentas final tidak mudah apabila dipaksa ‘bermandi peluh’ selama 78 minit sebelum menumbangkan beregu Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-14, 19-21, 21-16.
Pearly mengakui dia perlu berehat untuk mengalihkan tumpuan pada aksi final selepas sedikit kepenatan akibat rali panjang ketika berdepan beregu Indonesia tersebut.
“Fizikal saya agak turun hari ini. Di penghujung permainan, saya hanya guna kekuatan mental untuk bertahan sehingga akhir perlawanan. Saya beritahu diri sendiri, tahan sampai habis.
“Saya sangat bangga dengan Thinaah yang banyak bantu. Tanpa dia, tak mungkin menang perlawanan ini, terima kasih kepada Thinaah. Masih ada turun dan naik (prestasi) tetapi kami banyak lakukan peningkatan danharap mampu teruskan aksi terbaik seperti ini.
“Ini penampilan pertama kami di Sukan SEA dan semua orang mahukan pingat emas. Jadi, kami hanya mahu membuat persiapan sebaik mungkin untuk perlawanan esok,” ujarnya.
Thinaah mengakui, dia akan memberikan segala-galanya untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
“Kami tak mahu kalah kepada diri sendiri. Esok semua orang mahu emas, tapi bagi kami, kami hanya mahu berikan segalanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














