fbpx
PERENANG negara, Khiew Hoe Yean mempertahankan pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki di Sukan SEA Thailand 2025. -Fariz Rusadio

Sukan SEA: Hoe Yean lengkapkan emas hatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Perenang sensasi negara, Khiew Hoe Yean mempertahankan pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki di Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus melengkapkan koleksi hatrik peribadi temasya dwitahunan tersebut.

Pada aksi di Pusat Akuatik Huamark tersebut, Hoe Yean dipaksa bekerja keras apabila ditentang cukup hebat perang Vietnam sebelum memastikan emas ketiga berturut-turut menjadi miliknya dengan catatan masa satu minit 48.64 saat (s).

Kemenangan itu bagaimanapun hadir dengan tentangan sengit daripada perenang Vietnam, Tran Van Nguyen Quoc sebelum terpaksa akur dengan pingat perak selepas mencatatkan 1:48.70s, hanya 0.06s di belakang jaguh negara itu.

Mengulas mengenai saingan sengit itu, Hoe Yean mengakui perenang Vietnam itu cukup hebat dan mampu mencabar pingat emas.

“Perlumbaan hari ini bukan mudah terutama sekali perenang Vietnam dari lorong lapan itu menunjukkan peningkatan cukup baik dan
dia sebenarnya perenang yang bagus.

“Bagi saya, saya hanya fokus kepada strategi untuk terus berenang dan bertahan sehingga ke penghujung. Saya rasa dia memberikan saingan yang baik kepada saya,” katanya.

Walaupun gembira dengan kemenangan, Hoe Yean mengakui catatan masa tersebut bukanlah yang terbaik pernah dilakukannya.

“Ia bukan catatan masa terbaik saya. Tetapi pada ketika ini, memenangi perlumbaan adalah lebih penting. Membawa kejayaan kepada kontinjen Malaysia adalah perkara terbaik.

“Apa yang paling memotivasikan saya adalah bagaimana untuk mempertahankan gelaran ini. Ia adalah perkara yang paling sukar dalam sukan kerana ia memberikan anda tekanan dan rasa gemuruh.

“Saya rasa agak gementar hari ini, tetapi pada masa yang sama teruja. Jadi, menukarkan rasa gemuruh itu kepada keterujaan adalah motivasi saya hari ini,” katanya.

Kejayaan ini di Thailand melengkapkan emas ketiganya dalam acara tersebut selepas memenanginya pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Bagaimanapun, Hoe Yean enggan dibuai kejayaan terlalu lama kerana masih mempunyai baki dua lagi acara untuk diharungi.

“Saya masih ada dua lagi acara. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi kami akan berikan segalanya dan hadapinya satu demi satu,” katanya.

Seorang lagi perenang negara, Arvin Shaun Singh Chhal, turut cemerlang apabila berjaya menaiki podium untuk membawa pulang pingat gangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI