fbpx
Gambar hiasan.

Serah kad bank untuk buat pinjaman, akhirnya jadi ‘kambing hitam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Niat seorang wanita untuk mendapatkan pinjaman bertukar mimpi ngeri apabila dia mendakwa menjadi ‘kambing hitam’ sindiket penipuan selepas menyerahkan kad bank kepada pihak ketiga.

Keadaan itu telah mengheretnya ke dalam siasatan polis dan hampir berdepan prosiding mahkamah.

Menerusi perkongsian pengguna media sosial @Hnny, dia mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan kad bank atau akaun peribadi kepada orang lain walaupun atas alasan pinjaman mahupun sewaan.

“Ramai yang alami perkara sama, cuma saya nak pesan jangan bagi kad kita pada orang lain. Tak kisah untuk pinjaman atau sewa. Silap saya, padahnya besar,” katanya.

Menurutnya, dia sebelum ini membuat pinjaman dengan sebuah syarikat pinjaman berlesen yang mensyaratkan penyerahan kad bank selama enam bulan, namun selepas empat bulan pihak terbabit memaklumkan kad tersebut tidak boleh diakses untuk mengeluarkan wang.

“Dari situ saya mula pelik kenapa mereka nak akses kad saya. Lepas selidik, baru tahu akaun saya digunakan untuk menipu orang lain. Pada 30 September saya hubungi bank dan diminta ke cawangan, sebelum dimaklumkan akaun dibekukan kerana transaksi mencurigakan,” katanya.

Tambahnya, pada 1 Oktober lalu dia membuat laporan polis di Wangsa Maju dan hasil semakan mendapati terdapat satu laporan ke atas akaun banknya, namun kes itu diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Selepas berbulan-bulan menunggu, dia menerima panggilan daripada polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bayan Lepas yang datang ke Kuala Lumpur untuk mengambil keterangannya berkaitan kes berkenaan.

“Polis memaklumkan ada pengadu yang ditipu hampir RM18,000 untuk urusan pinjaman dan sebahagian wang itu masuk ke dalam akaun saya. Saya bersama individu lain kemudian dibawa menaiki van ke Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan urusan mahkamah,” katanya.

Menurutnya, sementara menunggu mahkamah dibuka, dia ditempatkan di lokap dalam keadaan telefon dirampas dan masih memakai pakaian sama sejak semalam.

Wanita itu berharap pengalamannya menjadi pengajaran kepada masyarakat terutama melibatkan pinjaman dengan syarikat wang berlesen serta tidak menyerahkan kad bank atau akaun peribadi kepada mana-mana pihak kerana risikonya sangat besar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN