PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular bahawa beliau telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu merupakan tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.
“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
“Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebagai seorang negarawan, Tun Mahahtir sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya.
“Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya,”ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, beliau tetap menghormati Tun Mahathir sebagai orang tua.
“Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.
“Oleh yang demikan, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














