KOTA KINABALU – Program Ritma Kinabalu 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Tapak Dataran, Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini berlangsung dengan meriah baru-baru ini.
Program yang dikenali sebagai Rhythms of Kinabalu (ROK) itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Produksi Seni Kreatif bermula 5 sehingga 8 Disember lalu.
JKKN dalam kenyataannya berkata, objektif program edisi ke-11 adalah untuk memartabatkan seni muzik tradisional dan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.
“Bertemakan ‘Irama & Alam’, ia menekankan integrasi seni tradisional dan kontemporari melalui persembahan instrumen warisan seperti kulintangan, sompoton, gong, seruling dan tagunggu digabungkan dengan instrumen moden serta teknologi muzik terkini.
“Pendekatan ini menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan warisan muzik Sabah terus hidup dan relevan dalam landskap kreatif masa kini,” katanya.
Majlis Perasmian Ritma Kinabalu 2025 disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai Mei Sing dan dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd. Radzi Omar.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Malam Lestari Ritma Kinabalu, Kampung ROK Cultural Village Experience, Tamu Seni (Borneo Art Bazaar & Creative Market), Pertandingan Ekstravaganza Seni Muzik, Miss ROK 2025, Ratu Kebaya Cilik dan Madodong Food Festival ROK.
Program turut dimeriahkan dengan Carshow Borneo Festival@ROK 2025 yang berjaya menarik kehadiran lebih 200 penyertaan pemilik kenderaan.
Buat pertama kalinya, ROK turut memperkenalkan Kampung ROK Cultural Village Experience yang menampilkan kehidupan kampung etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan Rungus melalui demonstrasi masakan tradisi, permainan alat muzik, adat resam, pembuatan Linangkit, permainan rakyat dan persembahan. -KOSMO! ONLINE














