PETALING JAYA – Ramai pelancong berkongsi kisah masing-masing dengan mendakwa menjadi mangsa penipuan timbangan oleh peniaga strawberi di Kea Farm, Cameron Highlands.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Nurul Hidayatul, wanita itu menceritakan pengalamannya ketika dia dan keluarga singgah di kawasan Kea Farm baru-baru ini untuk membeli strawberi yang dipamerkan dengan tanda harga ‘1 kilogram (kg) RM25’.
Menurutnya, rasa curiga timbul apabila bekas strawberi yang ingin dibeli kelihatan terlalu sedikit untuk berat dinyatakan.
“Abang mu kata ke Kak Nur, betul ke satu bekas ini 1kg? Macam sikit sahaja. Saya pun tanya penjual, satu kotak ini 1kg ke? Dia jawab ya,” katanya.
Curiga dengan kuantiti buah yang kelihatan sedikit, Nurul Hidayatul meminta peniaga menimbang semula strawberi tersebut, namun peniaga didakwa enggan menunjukkan paparan penimbang.
“Bila saya suruh pusingkan penimbang, rupanya berat cuma lebih kurang 700 gram sahaja. Masa tu memang naik darah sebab jelas ditipu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelancong dari Johor, Azian Md mendakwa strawberi yang dibeli pada harga RM35 untuk berat 2kg sebenarnya hanya sekitar satu kg.
“Masa minta peniaga timbang, dia tunjuk berat strawberi 2kg, tapi hati rasa tak sedap, jalan depan sikit minta tumpang timbang dekat kedai lain. Allah, kena tipu rupanya, yang kononnya 2kg rupanya 1kg sahaja. Memang kena serang balik. Peniaga tu terus buat-buat ‘blur’, bila suara aku dah satu Kea Farm orang boleh dengar, terus dia tambah lagi strawberi sampai penuh plastik.
“Minta bagi balik duit dia tak nak, dia bagi strawberi macam aku boleh buat berniaga balik. Tapi memang itulah last (terakhir) aku ke sana,” kongsinya di Facebook.
Di ruangan komen, ramai yang meninggalkan pesanan kepada pelancong Cameron Highland supaya lebih berhati-hati dan menjadi pembeli bijak ketika membeli hasil pertanian di sana.
“Jangan main ikut sahaja apa peniaga cakap. Walaupun ada tanda harga depan itu, sebenarnya ramai kaki penipu. Tanya betul-betul, suruh timbang dulu, sebelum bungkus. Itu hak kita sebagai pembeli,” katanya Asmar.
“Ramai dah orang cakap timbang tak betul di Cameron Highlands, ada tak apa-apa tindakan daripada pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup)? Sebab dah selalu sangat baca kes timbang tak cukup,” kata Ain Alia.
“Harap pihak berkuasa lebih cakna, datang buat tinjauan atau operasi jangalah pakai baju uniform (seragam), sempatlah yang penipu ini tukar, datang mengejut dan berlakon sebagai pelanggan. Mesti ramai peniaga ‘kantoi’,” cadang Zul. – KOSMO! ONLINE














