fbpx
Janin bayi yang ditemui di dalam sebuah lori sampah di Bukit Jalil, kelmarin.

Polis siasat lokasi sebenar beg berisi janin bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis mengesan individu terlibat berhubung kes janin bayi yang ditemui dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar beg yang mengandungi janin bayi berusia kira-kira 25 minggu sebelum ditemui di dalam lori sampah.

Menurutnya, polis juga belum memperoleh maklumat lengkap berkaitan identiti janin tersebut dan mengalu-alukan kerjasama orang awam bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, kita masih mengumpul semua maklumat daripada orang awam, kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini.

“Identiti janin berkenaan masih belum dapat dipastikan dan subjek terlibat juga belum dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Peluncuran Taman Angkat di Dataran PPR Seri Alam, Fasa Dua di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, pihaknya telah merekod keterangan empat individu.

Katanya, keadaan tubuh badan janin semasa ditemui mempunyai kecederaan di bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus.

Polis menerima laporan kes penemuan janin bayi lelaki berukuran panjang 35 sentimeter itu pada pukul 12.51 tengah hari, kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI