PETALING JAYA – Kebahagiaan rumah tangga tidak menjamin nasib di masa hadapan dengan penggunaan ayat romantik pada bukti transaksi bank.
Menerusi perkongsian peguam syarie di TikTok @Peguamsyarieadlyna, ayat romantik ketika pemindahan wang antara pasangan suami isteri boleh menjadi bukti untuk keperluan masa hadapan rumah tangga.
“Kalau nak memindahkan wang kepada pasangan, jangan tulis ‘I love you’ pada ruang rujukan. Bukan sebab tak romantik, tapi sebab tak membantu langsung di masa hadapan.
“Kenapa penting tulis tujuan sebenar? Kerana ruang rujukan itu boleh jadi bukti.
“Jika berlaku pertikaian harta, tuntutan nafkah, perceraian, kematian, urusan pusaka, ayat ‘I love you’ tak boleh jelaskan bahawa itu nafkah, pinjaman, hadiah atau belanja anak,” katanya.
Menurutnya, emosi tidak diambil kira dalam prosiding mahkamah, sebaliknya hanya bukti serta niat transaksi akan dinilai.
Malah katanya, mahkamah menilai tujuan sebenar transaksi yang lebih penting berbanding kata-kata romantik yang boleh dilakukan secara peribadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ramai tidak peka dengan ruangan rujukan transaksi kewangan.
“Saya minta suami tulis jika itu duit anak, duit suruh beli barang atau duit nafkah. Takut saya tersalah guna,” komen @Ferrerofafa.
“Saya tak ada rezeki anak lagi tapi segala perbelanjaan saya yang uruskan dan tulis. Sekurang-kurangnya persediaan untuk diri saya sendiri jika berlaku perkara yang tak dijangka,” komen @Mimie. – KOSMO! ONLINE














