fbpx
SABAH mara ke final Piala FA 2025 selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. - FARIZ RUSADIO

Piala FA: Peluang Sabah cipta kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSI final Piala FA melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok boleh dianggap seperti perlawanan antara ‘dua darjat’.

Pandangan itu disuarakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim yang menyifatkan dominasi skuad Harimau Selatan ketika ini terlalu unggul dan sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan termasuk Sabah.

Menurut Zulakbal, sudah pasti peminat mahu menyaksikan perlawanan yang berkualiti selain berlakunya elemen kejutan dalam mana-mana perlawanan terutama di pentas final.

“Atas kertas, saya boleh katakan ini seperti final antara dua darjat. Harus diakui ada juga dalam sejarah yang mana pasukan underdog boleh melakar kemenangan.

“Saya pasti ramai peminat bola sepak juga mahukan kejutan tetapi saya jangka peluang Sabah untuk menang agak tipis tetapi masih mampu berikan kejutan.

“Cuma, saya tidak terkejut jika JDT dapat melakar kemenangan besar pada aksi final kerana mereka memiliki aura yang berbeza,” kata Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada Kosmo!.

Sementara itu, Zulakbal turut berharap pengadil perlawanan final yang dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menampilkan prestasi dengan penuh adil dan integriti

“Pengadil memainkan peranan besar dan kita tidak mahu kontroversi yang berlaku sebelum ini berulang lagi.

“Saya harap tiada elemen negatif pada aksi final dan perlawanan dapat diadili dengan adil serta saksama. Paling penting, mereka perlu gunakan teknologi seperti VAR (video bantuan pengadil) sekiranya perlu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN