RAWANG – Seorang pemandu Toyota Vellfire cedera akibat tersepit selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori pasir dan BMW di Bandar Baru Kundang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 3.58 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika kesemua kenderaan menghala ke arah Kundang Jaya.
“Terdapat dua orang mangsa wanita yang mana seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu di dalam Toyota vellfire.
“Mangsa telah berjaya dibawa keluar dan mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, mangsa dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, operasi digerakkan dengan kekuatan seramai lapan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang. – KOSMO! ONLINE














