fbpx
Lokasi kejadian nahas yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di KM432.1 Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.

Pemandu lori terlibat nahas operator kilang maut dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Polis sedang mengesan pemandu lori yang terlibat kemalangan sehingga mengorbankan seorang penunggang motosikal di Kilometer (KM) 431.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 malam itu, lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari Tol Bukit Beruntung menghala ke arah selatan.
“Semasa mangsa cuba memotong sebelah kiri, motosikalnya telah bergesel dengan tayar belakang sebuah lori menyebabkan dia terjatuh.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Baharu bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, setakat ini, tindakan mengesan pemandu lori masih lagi dibuat terutama di daerah sekitar berserta saksi kejadian.

“Pihak polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03–6064 1222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI