PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa dan marah selepas keretanya menjadi mangsa perbuatan khianat disimbah cat dipercayai dilakukan oleh along, walaupun dia langsung tidak mempunyai sebarang hutang.
Menerusi perkongsian mangsa, Arief Iskandar berkata, tindakan tersebut dipercayai berkait dengan hutang individu lain, namun dirinya pula yang terpaksa menanggung akibat.
“Naya betul…orang lain yang buat hal, orang tak bersalah pula kena tempias. Kereta aku yang kena cat angkara hutang orang lain.
“Memang melampau betul kerja along ini dan yang berhutang itu pun perangai tak fikir panjang. Umur dah senja pun masih tak sedar diri. Sabar je lah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perkongsian Arief turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan kumpulan pemberi pinjaman wang tidak berlesen itu yang disifatkan semakin melampau.
“Kau pergi tanya orang itu along mana yang dia pinjam. Kau simbah cat dekat rumah dan kereta dia balik kalau tak nak bayar ganti rugi. Lapor polis jangan lupa,” cadang Noraminuddin.
“Taktik along macam itulah, dia akan simbah cat pada jiran-jiran supaya kerja mereka akan jadi senang tak perlu tekan peminjam. Nanti orang lain yang akan tekan peminjam,” kata Boss Ku.
“Kalau aku akan buat laporan polis, saman ganti rugi, saman malu dan sama fobia dekat along semula,” komen Nor Subhi. – KOSMO! ONLINE














