fbpx
NOR AZWANI NATRAH memulakan perniagaan salon rambut dari rumah sendiri selepas mendapat kemahiran baharu daripada program Proper A yang dilaksanakan MAIPk.

Nat Hair Salon tampung bajet bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Kesanggupan untuk belajar sesuatu yang baharu membolehkan seorang wanita dari Taman Sungai Mas, di sini bergelar usahawan dengan pendapatan selesa bagi menampung keperluan keluarga.

Nor Azwani Natrah Abu Bakar, 36, berkata, dia tidak menyangka 2025 akan menjadi tahun bermakna dalam kehidupannya untuk memulakan karier baharu sebagai pengusaha salon rambut.

Katanya, perjalanannya untuk menjadi pemilik salon Nat Hair Salon Tpg bermula sejak Mei lalu apabila dia diterima sebagai peserta program Proper A di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Pe­rak (MAIPk).

“Memang sebelum saya tidak memiliki sebarang pengetahuan mengenai bidang salon kerana pengalaman kerja sebelum ini ha­nyalah sebagai jurujual dan tukang jahit di sebuah kilang berdekatan.

“Bagaimanapun, ia bukanlah masalah kerana tenaga pengajar dari Fauzana Legacy Academy yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kursus Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Perempuan adalah golongan mahir daripada industri,” katanya kepada Kos­mo! di sini, semalam.

Nor Azwani Natrah berkata, sebagai seorang peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut, dia dilengkapi ilmu berkaitan se­perti teknik memotong dan mencuci rambut, selain aspek pengurusan perniagaan serta pelanggan.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia menjalankan perniagaan salon di halaman kediamannya bermula Ogos lalu.

“Perniagaan saya ini bertempat di dalam sebuah kontena yang diubah suai sebagai ruang kerja. Kontena sama turut saya gunakan bagi sebuah lagi perniagaan yang dilaksanakan sejak 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menjual surprise bouquet ataupun jambangan hadiah.

“Selain bekerja dari rumah, saya juga memanfaatkan bantuan motosikal dari MAIPk, yang mana ia digunakan untuk mengunjungi rumah para pelanggan yang tidak dapat hadir ke salon terutamanya golongan warga emas,” katanya.

Dia berkata, harga perkhidmatan yang ditawarkan seperti memotong, mencuci dan mewarna rambut agak rendah berbanding pasaran, iaitu bermula RM10 dan boleh mencecah sehingga RM130 kerana dia tidak menyewa premis seperti pemain industri lain.

Pada permulaannya, menurut Nor Azwani Natrah, salonnya ha­nya mampu menarik sekitar lapan orang pelanggan, namun usaha untuk mempromosikan perniagaan semakin membuahkan hasil apabila sehingga 40 pelanggan kini mendapatkan khidmatnya dalam sebulan.

“Alhamdulillah, pendapatan diraih buat peringkat permulaan ini mampu mencecah RM1,000 sebulan dan ditambah dengan hasil perniagaan jambangan hadiah, saya meraih kira-kira RM3,000 sebulan,” katanya.

Program Proper A MAIPk menepati flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pemboleh­dayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN