KUALA LUMPUR – Polis menyelaraskan siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan kes kebakaran sebuah unit kondominium di tingkat 26 yang mengorbankan seorang pelukis di Mont Kiara di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan itu diselaraskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Siasatan sebelum ini mendapati kebakaran itu tidak melibatkan sebarang unsur atau kesalahan jenayah.
“Aspek keselamatan bangunan berkenaan turut disiasat dan ia diselaraskan bersama siasatan oleh pihak bomba,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Peluncuran Taman Angkat di Dataran PPR Seri Alam, Fasa Dua di sini hari ini.
Terdahulu, polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes kebakaran yang mengorbankan seorang lelaki berusia 38 tahun di Mont Kiara, Kuala Lumpur Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa ditemukan dengan kesan melecur seluruh badan di bahagian balkoni kondominium sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














