fbpx

Malaysia mula garang, benam Singapura 10-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Skuad hoki dalam dewan wanita negara membuka kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan langkah kanan apabila membelasah Singapura 10-0 pada aksi pertama liga sepusingan hari ini.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila Nor Asfarina Isahiyifiqa Isahhidun membuka jaringan seawal minit keempat sebelum Fazilla Sylvester Silin menggandakan kelebihan menerusi pukulan sudut penalti (PC) seminit kemudian.

Rentak agresif skuad negara diteruskan dengan dua gol pantas melalui Iren Hussin dan Nur Atira Mohamad Ismail masing-masing pada minit ketujuh dan kelapan, sekali gus memaksa Singapura bergelut mengekang asakan bertali arus.

Nor Asfarina sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-11 menerusi satu lagi PC untuk memastikan Malaysia menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan selesa.

Memasuki babak kedua, Nur Atira terus mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik dalam tempoh kurang empat minit selepas meledak jaringan pada minit ke-25, 26 dan 28 hasil gerakan pantas serta ketajaman di hadapan gawang.

Dominasi Malaysia tidak terhenti di situ apabila Iren menambah gol kesembilan menerusi pukulan penalti (PS) pada minit ke-33 sebelum Nur Aisyah Yaacob melengkapkan kemenangan bergaya menerusi PC pada minit ke-40.

Kemenangan besar itu meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk meneruskan kemaraan dalam saingan, selain memberi suntikan keyakinan menjelang perlawanan menentang Filipina jam 5 petang esok. KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI