MARAN – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya terbabas dan terputus dua di Jalan Maran-Jengka berhampiran Jengka 8 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.18 pagi itu mangsa, Amir Zulfadli Azfar Sanudin, 24, dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka menuju ke arah Jengka 8.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Jengka,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE














